Usrah Ali, Qatar

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” -Surah az-Zariyat: 56

Archive for the ‘Persoalan Fiqh’ Category

Agih Zakat kepada bukan Islam

Posted by Admin on 27 February, 2009

Artikel dibawah ditulis oleh Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain, M.A (Syariah) : Universiti Islam Madinah.

—————————————————————————————————————————-

Persoalan adakah hasil kutipan zakat boleh disalurkan kepada bukan Islam ataupun tidak mestilah dibincangkan secara terperinci. Kerana menjawab secara mudah iaitu BOLEH atau TIDAK belum cukup untuk memberikan jawapan sebenar. Lebih menyedihkan jika timbul pertelingkahan tidak sihat di kalangan masyarakat hingga wujud pro dan kontra tanpa memahami hujung pangkal permasalahan sebenar.

Dalam Islam, sudah ditetapkan secara jelas siapa yang berhak disalurkan zakat. Mereka adalah lapan golongan atau asnaf, yang disebut dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Al-Taubah: 60).

Berkenaan agihan zakat kepada bukan Islam, hendaklah diperincikan status bukan Islam tersebut adakah termasuk dalam asnaf ‘Al-Muallafah Qulubuhum’ ataupun tidak.

Jika tidak termasuk dalam asnaf ‘Al-Muallafah Qulubuhum’, maka tidak boleh diberikan zakat kepada mereka. Perkara ini disepakati oleh para sarjana Islam, dan dinukilkan ijmak.

Ibn Qudamah menyebut, “Kami tidak mengetahui wujudnya perselisihan di kalangan ulama bahawa zakat harta tidak diberikan kepada orang kafir”. (Al-Mughni 4/106).

Ibn al-Munzir pula berkata, “Dan mereka telah ijmak bahawa kafir zimmiy tidak diberikan zakat harta kepadanya”.

Kesepakatan ini didasarkan kepada konsep asal zakat, iaitu dikutip daripada orang Islam yang kaya, dan diagihkan kepada orang Islam yang memerlukan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskannya dalam pesanan baginda kepada utusannya Muaz bin Jabal. Sabdanya:

“Khabarkan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang-orang kaya mereka, dan diagihkan kepada orang-orang miskin mereka”. Direkod oleh Bukhari (no: 1331) dan Muslim (no: 19).

Manakala orang bukan Islam yang dinilai oleh kerajaan sebagai muallaf, maka berhak menerima agihan zakat. Kerana syarak telah memberikan peruntukan khas kepada asnaf Al-Muallafah Qulubuhum, sebagaimana dalam ayat di atas.

Sarjana Islam telah membahagikan golongan muallaf kepada dua katagori;

a) Muallaf yang beragama Islam.
Iaitu orang-orang yang baru memeluk Islam, tetapi iman mereka masih tidak kuat. Kerana dikhuatiri mereka kembali kepada agama asal, diperuntukkan sedikit sumbangan kewangan supaya mereka tetap dengan Islam.
Juga diberikan zakat kepada orang Islam yang boleh memberi pengaruh kepada orang bukan Islam lain untuk menganut Islam.

b) Muallaf yang bukan Islam.
Boleh disalurkan zakat kepada orang bukan Islam yang berstatus muallaf. Pemberian ini adalah demi maslahah agama Islam juga. Maka diberikan kepada bukan Islam, dengan dua tujuan utama:

i- Diharapkan pemberian zakat itu mendorongnya untuk mengenali dan menganuti Islam.

Di dalam hadis Safwan bin Umaiyyah, beliau berkata, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menghulurkan permberian kepadaku pada peperangan Hunain, dan ketika itu baginda adalah makhluk yang paling aku benci. Dan baginda sentiasa memberikan kepadaku, sehingga baginda menjadi orang yang paling aku sayangi”. (Direkod oleh Ahmad no: 15304 dan Tirmizi no: 666).

ii- Atau diberikan zakat kepada bukan Islam sebagai memujuknya supaya tidak memusuhi Islam dan tidak menyakiti orang-orang Islam.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa ada sekumpulan manusia yang datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan mereka ini jika diagihkan pemberian kepada mereka, mereka akan memuji Islam dan berkata, “Ini agama yang baik”. Sebaliknya jika tidak diberikan kepada mereka, nescaya mereka akan mencerca dan mengaibkannya. (Syarh Kabir 2/697).

Secara kesimpulan, pemberian zakat kepada bukan Islam mestilah dilihat kepada maslahah dan berdasarkan siyasah syar’iyyah (politik Islam). Jika ia bertujuan dakwah dan pengembangan Agama Islam, maka ia satu tindakan yang wajar dan bertepatan dengan syarak.

—————————————————————————————————————————-

KOMEN NAQIB : Saya rasa tidaklah perlu saya komen artikel ini kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Saya memilih artikel ini kerana ia bertepatan dengan persoalan yang sering ditujukan oleh masyarakat kita. Ada juga artikel lain yang tidak saya post di sini kerana ia tidak menjelaskan dalil yang digunakan atau terlalu spesifik (contohnya membahaskan asnaf fakir miskin sahaja).

Posted in Persoalan Fiqh | Leave a Comment »

Panduan Berinteraksi dengan Khilaf Ulama’

Posted by Admin on 27 February, 2009

Artikel dibawah ditulis oleh Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain, M.A (Syariah) : Universiti Islam Madinah.

—————————————————————————————————————————

Sebagai orang awam yang bukan bertaraf mujtahid, kadangkala kita merasa kebingungan apabila berdepan dengan suatu masalah feqah yang ada perselisihan pendapat. Kerana bagi orang awam, apabila berdepan dengan satu masalah feqah yang tidak diketahui hukumnya, dia mesti merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan penyelesaian. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam ayat yang bermaksud, “Maka bertanyalah kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahui” (Al-Nahl: 43).

Tetapi, bagaimana pula jika antara jawapan para ulama, para mufti, atau para ustaz terdapat percanggahan antara satu sama lain? Yang mana satukah yang paling betul untuk dipegang? Adakah boleh dia memilih mana-mana pendapat mengikut kesesuaian dirinya? Atau dia wajib memilih pendapat yang paling sahih? Jika wajib memilih pendapat paling sahih, bagaimana seorang awam mampu menilainya sebagai sahih?

Penyelesaian kepada persoalan ini ialah perlunya kita mengetahui kaedah berinteraksi dengan khilaf ulama. Kaedah-kaedah ini dibuat supaya orang awam tidak kebingunan dan akhirnya mengambil jalan mudah iaitu pilih mana-mana pendapat yang disukai. Memilih mana-mana pendapat tanpa ada prinsip adalah satu tindakan yang salah. Ia ditegah oleh sekalian ulama.

Ibn as-Solah berkata, “Ketahuilah, sesiapa yang memadai dalam fatwa dan amalannya dengan mengikuti satu-satu pendapat dalam suatu masalah, dan beramal dengan mana-mana pendapat yang disukai, tanpa melihat dan bergantung kepada kajian dalam mentarjihkannya, maka sesungguhnya dia adalah jahil dan melanggar ijmak”.

Manhaj yang perlu dilalui dalam menyaring dan memilih pendapat para ulama, ialah berpandukan kaedah-kaedah di bawah:

PERTAMA: Apabila terserlah bahawa satu-satu pendapat lebih kuat dan rajih berbanding pendapat-pendapat lain, berdasarkan dalil masing-masing, maka hendaklah memilih pendapat yang paling kuat dalilnya.

Bagi orang awam, dua orang mujtahid yang berselisih pendapat diibaratkan sebagai dua dalil yang bercanggahan. Sebagaimana seorang mujtahid wajib membuat pemilihan antara dalil-dalil, begitulah seorang awam mesti membuat pemilihan antara pendapat dua orang mujtahid.

Timbul persoalan, bukankah orang awam tidak mampu untuk mentarjih (memilih pendapat)? Ya, Orang awam tidak dituntut mentarjih seperti kaedah mujtahid mentarjih. Ia cukup rumit. Orang awam hanya mentarjih antara dua pendapat yang muktabar. Lagipun, tidak benar mengatakan orang awam langsung tidak mempunyai kemampuan memilih atau memahami dalil. Walaupun tidak menyamai taraf mufti dan mujtahid, sekurang-kurangnya dengan mendengar hujahan mereka, seorang awam dapat membuat keputusan pendapat mana yang dilihat kuat.

Jika tidak mampu untuk melihat kekuatan pendapat berdasarkan hujahan masing-masing, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.

KEDUA: Mengambil pendapat majoriti ulama, dan ditarjihkan oleh ramai ahli ilmu. Kerana dengan cara memilih pendapat kebanyakan ulama, kemungkinan untuk berlaku kesilapan adalah lebih tipis, berbanding dengan mengambil pendapat yang dipilih oleh segelintir atau beberapa ulama sahaja.

Jika kaedah ini tidak dapat diaplikasi disebabkan bilangan yang sama atau hampir sama, sehingga tidak kelihatan salah satu pendapat mempunyai kelebihan dari sudut bilangan mujtahid yang mendokongnya, maka hendaklah berpindah kepada kaedah yang seterusnya.

KETIGA: Mengambil pendapat ulama yang dilihat lebih tinggi ilmunya dan kelihatan lebih warak dan bertaqwa daripada yang lain. Kerana taqwa kepada Allah adalah salah satu faktor mendapat petunjuk Allah kepada pendapat yang lebih benar.

Ketinggian ilmu dan ketaqwaan seseorang ulama boleh diketahui berdasarkan kemasyhurannya, rujukan penuntut ilmu terhadapnya, atau melalui pengalaman kita mendengar dia menjawab soalan dan menyebut hujahan.

Jika orang awam tidak mengetahui perihal keilmuan dan ketaqwaan antara muft-mufti, dan baginya mereka sama sahaja, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.

KEEMPAT: Mengambil pendapat yang paling berjaga-jaga atau paling selamat (Ihtiyath). Contohnya, mufti A berfatwa hukum sesuatu masalah ialah wajib, dan mufti B berfatwa hukumnya sunat. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah memilih pendapat mufti A kerana ia lebih berjaga-jaga. Begitu juga antara fatwa haram dan harus, hendaklah memilih fatwa haram kerana lebih selamat.

Diriwayatkan bahawa Al-Laits bin Saad berkata, “Apabila datang perselisihan, kami mengambil yang paling ihtiyath (berjaga-jaga atau selamat)”.

Jika kaedah mengambil langkah jaga-jaga tidak boleh digunakan kerana tidak jelas, atau mengambil pendapat yang berjaga-jaga membawa masyaqqah, maka bolehlah berpindah kepada kaedah terakhir.

KELIMA: Mengambil pendapat yang paling mudah antara pendapat-pendapat yang muktabar. Kerana dimaklumi bahawa syariat Islam dibina di atas prinsip memudahkan dan tidak memberatkan umat. Banyak ayat-ayat Quran dan hadis yang menjelaskan prinsip ini. Nas-nas itu menjadi saksi bahawa boleh mengambil pendapat yang paling ringan dalam situasi kepayahan.

Tetapi kaedah memilih pendapat paling ringan hanya boleh diaplikasi setelah keempat-empat kaedah sebelum itu tidak dapat digunakan. Jangan terlalu mudah melangkah kaedah-kaedah tersebut untuk mencapai kaedah terakhir ini. Seseorang yang terlalu kerap menggunakan kaedah mengambil pendapat mudah, perlu memperbanyakkan muhasabah adakah dia benar-benar memahami manhaj ini?

PENUTUP:

Demikian manhaj yang perlu dilalui oleh seseorang yang bukan mujtahid dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat di hadapannya. Lima kaedah yang perlu diikuti, supaya pemilihan satu-satu pendapat adalah berdasarkan prinsip dan bukan hawa nafsu semata-mata. Lima kaedah tersebut ialah:

i- Yang disokong oleh dalil.

ii- Yang disokong oleh majoriti.

iii- Yang lebih alim dan bertaqwa.

iv- Yang lebih berjaga-jaga.

v- Yang lebih ringan.

Wallahu A’lam.

Rujukan:
- Ikhtilaf Al-Mufteen, oleh: as-Syeikh as- Syarif Hatim

—————————————————————————————————————————

Komen Naqib : Dewasa kini kita lihat terdapat sedikit perselisihan pendapat di kalangan ulamak, khususnya dalam permasalahan kontemporari yang tidak wujud di zaman Rasulullah s.a.w. Ramai antara kita yang kadang-kadang terkeliru. Bagaimana menangani masalah ini?

Contohnya jika kita berbincang tentang 2 pendapat berbeza, pertamanya, cubalah kita mengetahui dalil yang digunakan. Sebaiknya jika kita mempunayi masa dan peluang, janganlah kita terus terjun membuat kesimpulan tanpa membaca apakah dalil yang digunakan. Bila kita melihat dalil tersebut, bukanlah untuk kita menilai pendapat yang paling kuat kerana majoriti kita tidak mempunyai kepakaran, tetapi untuk melihat manakah pendapat setelah kita membaca hujahnya  yang sukar ditolak oleh kita bila kita betul-betul ikhlas.

Keduanya, melihat apakah pendapat majoriti ulama’,seterusnya kaliber dan personaliti ulama’ tersebut, pendapat yang paling selamat dan akhir sekali berulah pendapat yang paling ringan.

PERBINCANGAN BERSAMA

  • Kesemua ini tidak dapat dicapai kecuali melalui penelitian dan agak baik juga penelitian ini dikongsi bersama.
  • Dalam masa yang sama, majoriti  kita tidak dibebani untuk mengeluarkan fatwa sendiri dan janganlah sampai kita bertindak sedemikian.
  • Janganlah kita mengecam mana-mana individu yang mengambil pendapat dari ulama’ muktabar dari ahlus sunnah wal jamaah ataupun terlalu emosi dalam memegang pendapat tersebut sehingga mengenepikan akhlak dan menjaga silaturahim yang sememangnya wajib.

Posted in Persoalan Fiqh | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 124 other followers